Hembusan Semula Nafas Penulisan

Setahun sudah aku meninggalkan penulisan di blog ini. Jika ditanya kenapa, jawapan tidak jujurnya adalah kerana kesibukan alam sarjana muda yang aku baru tempuhi setahun ini. Ia tidak jujur, kerana aku tidak terlalu sibuk sebenarnya. Buktinya adalah jawapan jujur, iaitu aku hanya menulis di laman Facebook dan Twitter sahaja. 

Jawapan yang lebih jujur, kerana sebenarnya aku cuba mengelakkan untuk menulis perihal agama. Kerana usiaku muda, dan penulisanku terlihat keras. Itu yang dikatakan orang-orang. "Engkau masih muda, Ata." "Kelak jika engkau sudah besar, pasti engkau tidak berpandangan seperti ini lagi." 

Aku tidak nafikan, memanglah aku ini masih muda. Kelahiran 2000. Umurku tahun ini baru sahaja menjejak 20. Masih muda jagung, baru nak up. Pandanganku juga terlihat keras. Aku juga sedar ia keras, sekurang-kurangnya pada orang yang lembut. "Syadid ah kau," ramai orang mengatakan begitu. 

Aku pun berhenti menulis. Di Facebook, sebelum tahun ini aku gemar mengemukakan perspektif aku pada banyak isu. Kini aku tidak menulis dengan begitu lagi. Tatapan Facebook juga aku hadkan kepada Kawan sahaja, tidak lagi kepada awam. Kadang-kadang menulis juga, terlepas. Haha. Tetapi kebanyakannya hanya share hantaran orang lain sahaja.

Cuma apabila selesai tahun 1 di UIA, aku kira sudah sesuai untuk aku menulis sedikit sebanyak. Masih muda juga, tetapi lantaklah. Masih keras juga (mengikut perkiraan orang lembut), tetapi lantaklah juga,

Setiap orang ada checkpoint dalam kehidupan masing-masing. Jika aku sudah besar, dan pandanganku berubah sekalipun, itu hanyalah sebuah adat kehidupan manusia. Akal dan emosi berubah-ubah. Tetapi aku tetap berdoa kepada Allah agar tidak memalingkan aku daripada kebenaran setelah Dia menunjukkannya kepadaku.

Aku mengambil keputusan untuk menulis semula kerana beberapa sebab,

1. Semoga ia menjadi saham akhirat. Kita tidak mengetahui bilakah kita akan mati. Cuma yang kita pasti, suatu hari nanti kita akan menuju ke alam sana; mahu atau tidak. Dalam hadis Abu Hurayrah yang direkodkan oleh Muslim, sebuah hadis sahih yang masyhur, dinyatakan bahawa antara amalan yang tidak terputus dengan kematian adalah sedekah dan ilmu. Semoga penulisanku di sini dikira sebagai sedekah dan ilmu.

2. Latihan menulis. Menulis adalah seni dan kemahiran. Seperti bawa basikal, ia memerlukan latihan juga. Seperti melukis, ia perlu diasah juga.

3. Memantapkan pengetahuan. Dengan menulis, kefahaman kita terhadap sesuatu akan menjitu. Kerana kita perlu menyampaikan semula pengetahuan tersebut dalam bahasa kita. Dan kebanyakan ilmu yang kita tulis, ia akan mudah terlekat dalam kepala.

4. Berkongsi faedah.

Semoga Allah jadikan penulisanku ikhlas kerana mengharapkan wajah-Nya.

Comments

Popular Posts