Catatan | Bicara Cinta
"Sudah engkau khabarkan kepada si dia bahawa engkau mencintainya?" Teman bertanya.
"Belum pernah." Balasku.
"Jika demikian, bagaimana dia mengetahui engkau mencintainya dan bagaimana engkau mengetahui bahawa dia mencintaimu?" Soalnya lagi.
Aku menarik nafas. "Engkau tahu, cinta itu bukan sebuah ungkapan. Ungkapan cinta itu dalam banyak keadaan, ia tidak mewakili apa-apa makna. Kerana hakikat cinta itu bukanlah ungkapan."
Aku menjeda sebentar. Teman hanya diam. Mendengar.
"Cinta itu adalah rasa insani, yang sudah sebati dalam diri secara semulajadi. Engkau tahu, ikan dalam laut dalam tidak punyai mata. Mengapa? Kerana mereka secara semulajadi dapat merasa segala apa yang dalam laut dalam itu. Mereka tidak berhajat kepada cahaya untuk melihat. Kerana mereka sudah bersatu!" Aku berfalsafah.
Dia merenung. Semacam berfikir. Kemudian memandang aku dengan wajah separuh keliru. "Lalu? Apakah kaitannya?"
Aku tersenyum. "Demikian aku. Seperti ikan dalam laut dalam. Aku dapat merasakan cinta itu tanpa perlu ia diungkapkan. Aku punyai sense cinta itu."
Teman hanya senyum separuh mengejek. "Teruskan dengan falsafah cintamu. Kelak jika engkau sudah tahu bahawa dia tidak pernah punya rasa padamu, engkau boleh ciptakan falsafah-falsafah cinta yang lain. Yang indah-indah semisal ini."
Senyum aku mengaget.
"Engkau terlalu banyak berkhayal seputar cinta. Terlalu idealistik. Engkau tidak berpijak di bumi nyata. Engkau nyata bukan realis." Teman bangun seraya pergi.
Meninggalkan aku yang semakin keliru dengan perasaan sendiri.
Comments
Post a Comment