"Ekstremisme" Dalam Buku Fiqh al-Shafi'i?
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، أما بعد
Sebelum subuh tadi, seorang sahabat saya berkongsi di WhatsApps, sebuah hantaran Facebook oleh Musytaq al-Ash'ari, seorang pengaku-diri "penuntut ilmu" beraliran sufi Nazim Haqqani (aliran yang telah digazetkan sesat oleh Panel Fatwa JAKIM). Tetapi kerana saya menyahaktifkan akaun Facebook saya untuk sementara waktu, saya kira cukup untuk saya balas di ruang blog ini, insya-Allah.
Dalam hantaran tersebut, Musytaq mengepilkan video berdurasi 50 saat yang dipotong daripada kuliah Fiqh yang disampaikan oleh guru kami, Ustadh Asrie Sobri al-Shafi'i - hafizahullah -.
Dalam video tersebut, Ustadh Asrie al-Shafi'i menyebutkan tentang sebuah permasalahan fiqh, jika seorang yang sedang begitu dahaga, lalu menemui orang yang memiliki air tetapi dia tidak memerlukan air tersebut, orang yang dahaga tersebut dibenarkan untuk merampas secara paksa daripada orang yang memiliki air tersebut, walaupun terpaksa membunuhnya.
Musytaq memberi komentarnya, seperti berikut:
Dalam hantaran kali ini, saya ingin memberi respon kepada 3 persoalan yang timbul daripada komentar Musytaq ini:
1. Ustadh Asrie menghalalkan darah (membenarkan untuk membunuh) manusia?
"Lihatlah bagaimana pemikiran ekstremisme Ustaz Asrie Sobri, seolah-olah menghalalkan darah itu menjadi hobi beliau." "Dalam masalah akidah pun nak halalkan darah, dalam Fiqh juga beliau menanamkan pemikiran ekstremis kepada orang awam."
Respon:
Semoga Allah memburukkan lidah dan jari Musytaq atas fitnah ini. Saya telah menghadiri dan mendengar ratusan jam kelas Ustadh Asrie Sobri, tidak pernah sekalipun beliau menghalalkan darah sesiapa. Baik dalam kelas Akidah, kelas Fiqh, kelas Tazkiyyat al-Nafs (penyucian jiwa), kelas Tafsir, tidak pernah walaupun sekali.
Pendirian Ustadh Asrie terhadap gerakan ekstremisme moden juga jelas, beliau tidak pernah menyembunyikan celaannya terhadap penyokong atau simpatisan gerakan ISIS dan sewaktu dengannya.
2. Adakah ini merupakan pendapat Ustadh Asrie sendiri?
"Ketika beliau menghuraikan ibarat kitab al Iqna' karangan Syeikh Muhammad Khatib Syarbini (977H) :
وللعطشان أخذ الماء من مالكه قهرا ببدله إن لم يبذله له
" Dan bagi orang yang dahaga, boleh ambil air daripada tuannya(air) secara paksa dengan bayaran sekiranya tidak diberi secara percuma "
Tetapi Ustaz Asri Sobri, dia hurai maksud قهرا dengan membunuh.
Sedangkan dalam ibarat kitab tersebut tidak mengatakan bunuh, sekadar paksa dengan memberi bayaran."
Respon:
Musytaq menunjukkan sisi kejahilannya berkenaan mazhab al-Shafi'i apabila mendakwa pendapat ini adalah tafsiran Ustadh Asrie sendiri. Perhatikan ucapan al-Bujayrimi dalam Tuhfat al-Habib bi Sharh al-Khatib tatkala menghuraikan ucapan al-Khatib al-Shirbini ini:
al-Shirbini:
ولِلْعَطْشَانِ أَخْذُ المَاءِ مِنْ مَالِكِهِ قَهْرًا بِبَدَلِهِ إِنْ لَمْ يَبْذُلْهُ لَهُ
"Orang yang haus dibenarkan untuk mengambil air secara paksa daripada empunya air dengan bayarannya, sekiranya empunya air enggan memberikan air kepadanya."
al-Bujayrimi:
(مِنْ مَالِكِهِ) أَي: غير العطشان. فإن كان مالك الماء عطشانًا لَمْ يُهْدَرْ، بَلْ يَضْمَنُهُ قَاتِلُهُ كَمَا فِي شَرْحِ م ر. بِخِلَافِ المَالكِ غَيْرِ العطشان فَلا ضَمَانَ علَى قاتله إذا كان عطشانا
"Iaitu daripada empunya air yang tidak kehausan. Jika empunya air juga kehausan, darahnya tidak halal, bahkan pembunuhnya hendaklah membayar diyat, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ramli dalam Sharh al-Minhaj. Berbeza pula dengan empunya air yang tidak kehausan, pembunuhnya tidak perlu membayar diyat sekiranya dia kehausan."
Hashiyah al-Bujayrimi, j. 1, h. 475
(cet. Dar al-Hadith)
Nah, sekarang ini al-Bujayrimi sendiri yang mentafsirkan bahawa maksud قَهْرًا di situ adalah halalnya darah. Ia bukan datang dari poket Ustadh Asrie Sobri sendiri! Adakah al-Bujayrimi dan al-Ramli (yang al-Bujayrimi nukilkan fatwanya) adalah ekstremis juga?
Sebenarnyta cara Musytaq menterjemahkan ibarat kitablah yang salah!
3. Ekstremkah sebenarnya fatwa ini?
Sebenarnya fatwa ini bukanlah sesuatu yang ekstrem, bahkan ia menunjukkan keindahan Syariah dalam mengutamakan nyawa manusia.
Ketika menyebutkan berkenaan situasi kekurangan air, antara berwuduk dengan minum air bagi yang kehausan, mana satukah yang lebih utama? Qalyubi berkata:
وَمَحَاسِنُ الشَّرِيعَةِ تَأْبَى ذَلِكَ صِيَانَةً لِلرُّوحِ، فَهُوَ كَالِاضطِّرَارِ. وَلِذَلِكَ جَازَ لِلْعَطْشَانِ وَلِغَيْرِهِ لِأَجْلِهِ أَنْ يَأْخُذَ الْمَاءَ مِنْ مَالِكِهِ إِذَا لَمْ يَكُنْ عَطْشَانًا، وَلَا مَعَهُ عَطْشَانٌ، قَهْرًا عَلَيْهِ وُمُقَاتَلَتُهُ وَلَا ضَمَانَ لَو تَلِفَ؛ لِأَنَّهُ ظَالِمٌ يَمْنَعُهُ، بَلِ الطَّالِبُ مَضْمُونٌ لَوْ أَتْلَفَهُ لِأَنَّهُ مَظْلُومٌ.
"Keindahan Syariat melarang perkara tersebut (mengutamakan wuduk daripada minum air), kerana Syariat menuntut untuk nyawa dipelihara. Situasi ini adalah seperti darurat. Justeru dibenarkan bagi orang yang keharusan - dan orang terdesak yang lain - untuk mengambil air daripada empunya sekiranya empunya itu tidak kehausan juga dan tidak ada orang haus yang perlu dijaganya, secara paksa, serta memeranginya untuk mendapatkan air. Dia tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya pemilik air itu mati, kerana orang itu zalim yang menghalang air. Bahkan orang meminta airlah yang dipelihara haknya sekiranya dia dibunuh, kerana dia dizalimi."
Hashiyah Qalyubi 'ala Kanz al-Raghibin, j. 1, h. 83
Senada dengan ini, Shaykh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam Asna al-Matalib ketika menghuraikan perkataan ibn al-Muqri dalam Rawd al-Talib,
(وَلَهُ) أَيْ لِلْعَطْشَانِ (أَخْذُهُ) أَيْ الْمَاءِ مِنْ مَالِكِهِ (قَهْرًا) إذَا امْتَنَعَ مِنْ بَذْلِهِ بَيْعًا وَغَيْرَهُ لِحُرْمَةِ الرُّوحِ حَتَّى لَوْ أَدَّى إلَى هَلَاكِهِ كَانَ هَدَرًا لِأَنَّهُ ظَالِمٌ بِمَنْعِهِ أَوْ إلَى هَلَاكِ الظَّامِئِ مَضْمُونًا لِأَنَّهُ مَظْلُومٌ.
"Orang yang kehausan dibenarkan untuk merampas air daripada empunyanya secara paksa jika dia enggan menjualkan air kepadanya, kerana mulianya nyawa untuk dipelihara. Walaupun paksaan tersebut menyebabkan kematian empunya, maka darah empunya itu adalah hadar (halal), kerana dia adalah orang zalim kerana menghalang air. Atau jika orang haus itu yang mati, maka nyawanya dituntut bela, kerana dia dizalimi."
Asna al-Matalib Sharh Rawd al-Talib, j. 1, h. 78
Sesiapa yang mendengar secara penuh kuliah Ustadh Asrie Sobri sebelum dipotong menjadi 50 saat oleh tangan keji yang menginginkan fitnah, dia akan mengetahui bahawa konteks Ustadh Asrie menyebut berkenaan isu ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Qalyubi dan Shaykh al-Islam Zakariyya al-Ansari.
Penutup
Saya mengajak Musytaq untuk bertaubat, kembali mentawhidkan Allah dengan hanya menyeru kepada-Nya sahaja dalam berdoa dan meminta keperluan ghaib, kemudian saya mencadangkan Musytaq untuk meminta maaf kepada Ustadh Asrie dan menerangkan kesilapannya secara umum (sebagaimana kesilapannya ini dilakukan secara umum).
Jubah dan serban yang kamu pakai dan tunjuk-tunjukkan kepada netizen tidak boleh membantu kamu ketika berdiri di hadapan Allah di akhirat, tatkala Dia mempersoalkan kamu tentang fitnah yang kamu bakar ini; itupun sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan saya berharap begitu. Saya tahu kamu mahu membunuh karakter Ustadh Asrie, tetapi bertakwalah kepada Allah!
وَصَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين.
Ditulis oleh:
Muhammad `Ataullah bin Mohd Ali, Musaddad Sha'lami,
8:52 pagi, 12 Safar 1442/ 29 September 2020.
بارك الله فيكم
ReplyDelete