Wakī‘: Antara Mabuk Ibadah dan Mabuk Nabidh

Yaḥyā b. Aktham menceritakan, "Aku melazimi Wakī' b. al-Jarrāḥ; Beliau berpuasa sepanjang tahun dan mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam."

Imam al-Dhahabi mengomentari anekdot ini dengan katanya,

"Ini adalah ibadah yang beliau sering lakukan. Namun di manakah ibadah ini dari imam bagi sekalian imam ahl al-athar (iaitu Muḥammad ﷺ)? Telah sahih larangan baginda dari berpuasa sepanjang tahun dalan larangan dari mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari. Sedangkan agama itu mudah, serta menuruti sunnah itu lebih utama.

Semoga Allah meredai Wakī, di manakah kita temui manusia semisalnya?

Namun demikian [kuatnya ibadah beliau pun], beliau merupakan seorang yang kerap minum nabidh Kufah, dan sering kemabukan kerananya. Beliau meminumnya kerana terdapat takwil di sisi beliau.

Jikalah beliau meninggalkannya kerana warak, sudah tentu itu lebih utama baginya. Kerana barangsiapa yang berhati-hati dengan perkara yang samar-samar, dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.

[Tambahan pula,] telah sahih larangan dan pengharaman nabidh tersebut dan di sini bukanlah tempat untuk aku menghuraikannya.

Setiap individu boleh diambil perkataannya dan ditinggalkan, dan tidak ada ikutan pada kesalahan alim. Iya, kita tidak mencela apa yang beliau lakukan kerana ijtihad, dan kita memohon agar Allah mengurniakan toleransi."

Siyar A‘lām al-Nubalā’, 9/143.

Comments

Popular Posts