Catatan | Menetapkan Ketinggian Tuhan Di Atas Makhluk-Nya

Antara silibus akidah ahli al-Sunnah adalah menetapkan sifat tinggi bagi Allah dari makhluk-Nya, ia sebagaimana yang diucapkan anak murid kanan Imam al-Shafi'i, iaitu Imam Isma‘il b. Yahya al-Muzani (w. 264), pada bahagian awal risalah Sharh al-Sunnah (Penerangan Akidah Ahl al-Sunnah) yang disusun oleh beliau,

[هو] عَالٍ عَلَىٰ عَرْشِهِ، وَهُوَ دَانٍ بِعِلْمِهِ عَنْ خَلْقِهِ، أحَاطَ عِلْمُهُ بِالأمُورِ.
[Dia Allah] meninggi di atas ‘Arsh-Nya, dalam masa yang sama Dia ilmu-Nya dekat dengan makhluk-Nya. Ilmunya meliputi segala sesuatu.

Akidah ini adalah yang diajarkan Allah dalam kitab-Nya, para Nabi melalui lidah mereka dan telah diijmakkan para salaf.

Allah ﷻ berfirman,

الرَّحْمَـٰنُ عَلَىٰ العَرْشِ اسْتَوَىٰ.
[Allah] Yang Maha Pemurah, Dia meninggi di atas ‘Arsh-Nya.

Sebahagian ahli bidaah seperti Mu‘tazilah dan sebahagian Ash‘ariyyah cuba mengubah erti meninggi ini kepada pengertian lain, iaitu menguasai. Namun pendapat ini salah dan ganjil, tidak dikenali dalam kaedah bahasa Arab bahawa istawa ‘alā membawa erti menguasai, bahkan ia membawa erti meninggi secara hakikat.

Dawud b. 'Ali b. Khalaf (w. 270H) menceritakan, suatu hari ketika mereka duduk-duduk bersama Muhammad b. Ziyad atau lebih dikenali sebagai ibn al-A‘rabiyy (w. 231H), beliau merupakan seorang pakar bahasa Arab. Seorang lelaki datang bertanya kepada beliau perihal ayat di atas.

Lalu jawabnya, “Dia (Allah) atas ‘Arsh-Nya sebagaimana yang Dia firmankan.”

Lelaki itu membalas, “Wahai Abu ‘Abd Allah, apa yang engkau katakan bukanlah maksud ayat ini. Bukankan ayat ini bermaksud menguasai?”

Ibn al-A‘rabiyy menjawab, “Diam engkau! Tidak dikatakan sesuatu itu menguasai sesuatu, melainkan jika keduanya bertelagah!”

[al-Lālikā’ī, Sharḥ Uṣūl al-I‘tiqād 2/399; ibn ‘Abd al-Barr, al-Tamhīd 7/131; ibn Ḥajar al-‘Asqalāniyy, Fatḥ al-Bāriyy 13/417; ibn al-Qayyim, Ijtimā‘ al-Juyūsh al-Islāmiyyah h. 103; dll]

Hakikatnya satu ayat ini sudah mencukupi, namun ahli bidaah tidak pernah kenyang dengan dalil. Mereka tidak akan merasa puas dengan jawapan dari al-Quran dan al-sunnah serta pendapat para salaf; Melainkan itu semua selari dengan hawa nafsu mereka.

Mereka cuba memburukkan akidah ini dengan dakwaan bahawa ia bercanggah dengan akidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Hakikatnya, mereka tanpa segan-silu self-claimed diri mereka sebagai ahli al-Sunnah wa al-Jamaah (Aswaja) dan menuduh sesat pendapat bercanggah dengan mereka meskipun pendapat itu berasaskan al-Quran, al-sunnah dan ijmak.

Antara yang menukil ijmak para salaf akan sifat meninggi Allah di atas ‘Arsh-Nya adalah;

1. Imam Ishaq b. Rahawayh (w. 238H).

Imam al-Dhahabiyy merekodkan dengan sanad yang sahih dari beliau dalam al-‘Uluww (no. 487), bahawa beliau membaca ayat: “al-Rahman meninggi di atas ‘Arsh-Nya.” Kemudian beliau memberi komentar,

 إجماع أهل العلم أنه فوق العرش استوى، ويعلم كل شيء في أسفل الأرض السابعة.
“Telah ijmak para ulamak bahawasanya Dia meninggi di atas ‘Arsh, dan Dia mengetahui segala sesuatu [meskipun] di bawah lapisan bumi yang ketujuh.”

2. Imam Qutaybah b. Sa‘id (w. 240H). Beliau merupakan guru kepada Imam al-Bukhariyy, Imam Muslim, Imam al-Tirmidhiyy, Imam al-Nasa'i, Imam Abu Dawud, Imam ibn Majah dan selain mereka.

Dalam al-‘Uluww (no. 470) dengan sanad yang sahih, beliau berkata,

“Ini adalah pegangan sekalian para imam dalam Islam, al-Sunnah dan al-Jamaah; Bahawa kita mengenali Tuhan kita, Dia di atas langit yang ketujuh, sepertimana yang Dia firmankan: “al-Rahman meninggi di atas ‘Arsh”.”.

3. Imam ‘Abd a-Rahman ibn Abi Hatim al-Raziyy (w. 327) dalam ‘Aqīdat al-Rāziyayn. Beliau menukilkannya dari bapanya Abu Hatim (w. 277) dan kawan bapanya, Abu Zur‘ah (w. 264H).

Dan terdapat banyak lagi nukilan ijmak akan ketinggian Allah di atas Arsh-Nya, yang dinukil oleh Imam ‘Uthman b. Sa'id al-Darimiyy (w. 280H), Imam Zakariyya al-Sajiyy (w. 307H), ibn Abi Zayd al-Qayrawaniyy (w. 386H), Imam ibn Battah al-'Ukbariyy (w. 387H), Imam Abu ‘Umar al-Talamankiyy (w. 429H), Shaykh al-Islam Abu ‘Uthman al-Sabuniyy (w. 449H), al-Hafiz Abu Nu‘aym al-Asbahaniyy (w. 430H), dan lain-lain ulamak salaf.

Lihat tarikh wafat mereka, betapa dekatnya mereka dengan Nabi ﷺ. 

Inilah akidah yang diajarkan oleh baginda ﷺ! Tidak ada yang menyalahi ini melainkan telah menyimpang dari akidah baginda ﷺ.

Ataullah Mohd Ali.

Shah Alam, 

12 Disember, 2018.

Comments

Popular Posts