Catatan | Angels; Malaikat atau Manusia?

Isu perkataan Dr. Mahathir "Even angels make mistakes" adalah isu yang menunjukkan kepentingan untuk melihat definisi dari sudut etimologi (Ar: لُغَةً) dan terminologi (Ar: اصْطِلَاحاً).

Angels secara secara bahasa adalah malaikat, dan dalam sesetengah keadaan, ia diitlakkan kepada orang-orang baik.

Soalan; "Apakah angels yang dimaksudkan oleh Tun M" hanya boleh dijawab secara tepat oleh Tun M sahaja. Kerana empunya katalah yang paling mengerti konteks perkataannya.

Namun jika kita perhatikan bentuk ayat beliau, kita akan dapati bahawa angels yang dimaksudkan adalah malaikat, bukannya orang baik.

Cuba kita suaikan:

Sedangkan ___________ pun melakukan kesilapan.

a. Malaikat
b. Orang baik

Corak ayat akan menjadi tidak gramatis jika yang dimaksudkan dengan angels adalah orang baik, kerana ia termaksud الإخْبَارُ بِالمَعْلُومِ, mengkhabarkan berita yang telah diketahui. Penggunaan malaikat lebih cantik dalam ayat ini.

Juga, jika kita andaikan yang dimaksudkan adalah orang baik, ini menunjukkan penutur membahasakan dirinya sebagai orang tidak baik. Kerana ayat "Saya orang baik, sedangkan orang baik pun melakukan kesilapan" adalah menyalahi retorik bahasa. Yang sepatutnya adalah, "Saya bukan orang baik, sedangkan orang baik pun melakukan kesilapan."

Namun jika diandaikan malaikat, ia lebih sesuai. Kerana ayat tersebut akan menjadi, "Saya manusia, sedangkan malaikat pun melakukan kesilapan."

Kemudian di sisi kita ahli al-Sunnah, malaikat tidak melakukan kesilapan. Hal ini sebagaimana yang disifatkan Allah dalam firman-Nya,

لَا يَعْصُونَ اللهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤمَرُونَ.
“Mereka tidak menderhakai Allah pada apa yang Dia perintahkan buat mereka, dan mereka melaksanakan segala apa yang disuruhkan.”

وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ.
“Dan [para malaikat itu] tidak berkurangan dalam tugasan mereka.”

Kesimpulannya, dakwaan malaikat melakukan kesilapan jika ditinjau dari aspek bahasa, ia kelihatan cantik; Namun jika diukur dari parameter teologi Islami ia bercanggah dengan akidah Islam.

Islam agama yang indah. Kesilapan kerana kejahilan adalah dimaafkan dan tidak diambil kira, ia termasuk dalam bab al-‘udhr bi al-jahl. Berkenaan Tun M, beliau lebih mengetahui konteks perkataannya.

Wallahu a'lam.
Sengaja isi waktu malam dengan personal thought.

‘Am‘ash
Shah Alam.

Comments

Popular Posts