Catatan | Nabi Pun Disuruh Bertakwa
Pada awal surah al-Ahzab, Allah menyatakan,
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ
"Wahai Nabi, bertakwalah kepada Allah, dan usahlah dikau menuruti orang kafir dan munafik."
Soalan di sini, mengapakah Allah ﷻ menyuruh Nabi Muhammad ﷺ bertakwa sedangkan baginda-lah penghulu sekalian orang yang bertakwa?
Ibn al-Jawzi dalam Zad al-Masir menyebutkan tiga makna di sebalik arahan tersebut;
1. Ia arahan agar baginda ﷺ berterusan dan konsisten dalam ketakwaan.
2. Ia arahan agar baginda ﷺ senantiasa menambahbaik kadar ketakwaan baginda.
3. Ia adalah arahan yang dihalakan kepada baginda ﷺ, namun yang dimaksudkan adalah umat baginda ﷺ.
Saya katakan, ketiga-tiganya boleh diharmonikan, iaitu baginda dan umat baginda disuruh untuk konsisten dalam ketakwaan dan menambahkan lagi kadar ketakwaan, wallahu a'lam.
Soalan, bagaimanakan diketahui bahawa yang dimaksudkan adalah umat baginda?
Kita katakan, ia adalah kebiasaan para pemimpin memberikan arahan kepada ketua kumpulan sebagai arahan kepada kumpulan, dan baginda ﷺ adalah ketua kita. Tambahan pula, Allah ﷻ menyebutkan dalam ayat kedua dengan khitab plural,
إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
"Sesungguhnya, adalah Allah dengan apa yang kalian lakukan mengetahui."
Wallahu a'lam.
Comments
Post a Comment