Catatan | Meminta Ampun Usai Melepaskan 'Hajat'

Antara adab yang diajarkan Islam adalah mengungkapkan "ghufrānak" setelah keluar dari tandas. Maksud ghufrānak adalah, "Aku meminta-Mu akan keampunan."

Apakah munasabah mengungkapkan istighfar setelah keluar tandas?

Sh. Mustafa Abu Sulayman al-Nadwi dalam buku beliau Taysir al-Fiqh al-Islamiyy lil-Nashi’ah menyebutkan takwilannya; "yakni: aku meminta-Mu akan keampunan; kerana Dikau-lah wahai Tuhan, dengan rahmat-Mu dan pemurah-Mu, Dikau memberi aku makan dan minum, dengan makanan dan minuman itu, Dikau menjadikan aku mengambil manfaat dari keduanya, kemudian dari sisa-sisa keduanya, Dikau keluarkan ia dari tubuhku dengan kemurahan-Mu, hanya Dikau-lah semata yang berkuasa atas segala sesuatu; Maka dengan itu, aku meminta ampun dari-Mu atas kekuranganku mensyukuri nikmat yang besar ini."

Mw. Nasaie Hanaffie pula menyebutkan dua takwilan yang agak menarik dalam komentar beliau ke atas al-Adab al-Mufrad,

1. Nabi ﷺ meminta ampun kepada Allah kerana dalam 24 jam baginda ﷺ, tidak sekali baginda meninggalkan zikrullah, kecuali dalam tandas. Maka baginda ﷺ meminta ampun untuk itu.

2. Nabi ﷺ meminta ampun kerana gagal mengawal diri baginda ﷺ dari mengingati Allah ﷻ meskipun dalam tandas. Justeru baginda ﷺ meminta ampun untuk itu.

*Merupakan hantaran di Facebook.

Comments

Popular Posts