Catatan | Ali v. Mu‘āwiyah; Siapakah Yang Benar

https://youtu.be/YYOOZKRdWNw

Malam ini aku terpaku di hadapan skrin, menonton syarahan Sh. al-Ḥāfiẓ Jālis Kursiy Mālik Sa‘īd al-Kamaliyy hfz berkenaan perang Ṣiffīn yang terjadi antara Mu‘āwiyah (Shām) dan ‘Alī (‘Iraq).

37 minit, sudah pasti aku tidak menghurai semua, cuma sedikit sahaja.

Ramai yang berpandangan dalam hal ini Mu‘āwiyah bersalah. Digambarkan seolah beliau menggilai takhta khilafah, sehingga sanggup mengumpul tentera untuk melawan Khalifah ‘Alī.

Khalifah ‘Alī pula digambarkan sebagai pemimpin yang lemah, yang perintahnya tidak diikuti, arahannya sering diabaikan. Sehingga konon Mu‘āwiyah sanggup memijaknya.

Ketahuilah, bahawa peperangan Alī–Mu‘āwiyah bukanlah peperangan merebut kerusi khilafah. Perang yang menelan 70 000 sehari itu bukanlah kerana mahu mengangkat seorang pemimpin.

Ketahuilah, Mu‘āwiyah hanya menuntut kematian sepupunya ‘Uthmān b. ‘Affān yang dibunuh secara zalim! Masakan Mu‘āwiyah si ketua kabilah berdiam diri terhadap pembunuh mertua baginda ﷺ?

﴿وَمَن قُتِلَ مَظلومًا فَقَد جَعَلنا لِوَلِيِّهِ سُلطانًا﴾
Dan barangsiapa yang dibunuh secara zalim, maka kami berikan keizinan kepada walinya untuk membalas bunuh.
[al-Isrā’: 33]

Dan Mu‘āwiyah adalah wali kepada ‘Uthmān, dan ‘Uthmān pula sudah disebut oleh baginda ﷺ bahawa beliau akan dibunuh oleh munafik, dan beliau berada di atas petunjuk. Dan jika beliau berada atas petunjuk, pastilah yang membunuh beliau berada dalam kesesatan!

Dan ‘Alī b. Abī Ṭālib juga bukanlah sengaja mahu membiarkan kematian ‘Uthmān tidak terbela, sebaliknya keadaan negara yang tidak stabil ketika itu tidak mengizinkan beliau berbuat demikian.

Kedua-dua mereka berada di syurga. Insya-Allah. Siapa yang masuk neraka? Mereka yang sibuk mengutuk para sahabat, sedangkan Allah telah meredai mereka semua.

Comments

Popular Posts