Catatan | Terjemahan al-Tuḥfat al-Karīmat (in progress)
Dahulu aku banyak menterjemah beberapa buku, cuma tidak habis. Beberapa kali bertukar telefon bimbit, beberapa kali jugalah terjemahan itu terlupus begitu sahaja. Maka aku fikir elok sahaja aku letak di sini.
Ini adalah terjemahan al-Tuḥfat al-Karīmat fī Bayān Kathīr min al-Aḥādīth al-Mawḍū‘at wa al-Saqīmat (Ms: Hadiah yang Mulia pada Menerangkan Banyak Hadis yang Palsu dan Tidak Sahih) susunan Samāḥat al-Shaykh Faḍīlat al-Muftī ‘Abd al-Azīz b. ‘Abd Allah b. Bāz. Mengandungi lebih kurang 70 buah hadis yang tidak sahih berdasarkan penerangan serba ringkas. Semoga Allah jadikan usaha ini ikhlas kerana-Nya dan mengaruniakan daku istiqamah.
Hadis 1
أفضلُ الناس عند الله منزلةً يوم القيامة إمامٌ عادلٌ رفيق، وشرُّ عباد الله عند الله منزلةً يوم القيامة إمامٌ جائر.
“Seelok-elok kedudukan manusia di sisi Allah pada hari Kiamat kelak adalah pemimpin yang adil dan lembut, dan seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada hari Kiamat kelak adalah pemimpin yang jahat.”
Hadis ini direkodkan oleh al-Ṭabaraniyy dalam al-Awsaṭ dari jalur ibn Lahī‘ah. Ia disebutkan oleh al-Munziriyy dalam al-Targhīb.
Ia adalah hadis yang lemah menurut jalur ini, kerana ibn Lahī‘ah.
Cuma bahagian pertama hadis [berkenaan kelebihan pemimpin yang adil] ada disebutkan dalam al-Ṣaḥīḥayn dari hadis Abū Hurayrah secara marfū‘, “Tujuh golongan yang mendapat naungan [‘Arash] Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya: pemimpin yang adil...” Kemudian disebutkan yang lain.
Hadis 2
أخِّرُوهنّ مِن حيث أخَّرهُنَّ اللّٰهُ.
“Letakkanlah wanita di akhir [saf] sebagaimana Allah meletakkan mereka di akhir.”
Hadis ini disebut dalam Kashf al-Khafā’ (jilid 1, halaman 67), yang dinukil dari al-Maqāṣid [al-Ḥasanah], juga dari al-Zarkashiyy, bahawa ia adalah mawqūf kepada ibn Mas‘ūd. Ia dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzāq dan al-Ṭabarāniyy dari ibn Mas‘ūd, tidak sampai kepada Nabi ﷺ.
Baca selengkapnya di Kashf al-Khafā’.
Hadis 3
أفْضَلُ طَعَامِ الدُّنْيَا والآخِرَةِ اللَحْمِ.
“Sebaik-baik makanan di dunia dan akhirat adalah daging.”
Ia disebutkan dalam Kashf al-Khafā’ (jilid 1, halaman 154), kata [al-‘Ajlūniyy, penulis Kashf]: Hadis ini direkodkan oleh Abū Nu‘aym dan al-‘Uqayliyy, dari jalur ‘Amr as-Saksakiyy, dari Rabī‘ah b. Ka‘b, dari Nabi ﷺ.
‘Amr tersebut adalah perawi yang tersangat lemah.
Kata al-‘Uqayliyy: Hadis ini tidak diketahui ada direkodkan melainkan dari ‘Amr, dan tidak ada yang sahih satu pun tentang perkara ini.
Turut terdapat disebutkan dalam Kashf al-Khafā’ jalur yang lain, dan dinukilkan bahawa ibn al-Jawziyy memasukkan jalur tersebut dalam al-Mawḍū‘āt. Jika engkau mahu [tahu lebih], rujuklah Kashf al-Khafā’.
Hadis 4
Athar ‘Umar [b. al-Khaṭṭāb], kata beliau, “Doa itu tergantung antara langit dan bumi selagi mana engkau tidak berselawat kepada Nabi Muḥammad ﷺ.”
Imam al-Tirmidhiyy merekodkan secara mawqūf sebegini. Ismā‘īliyy pula merekodkan dengan lafaz, “Diberitahu kepada kami bahawa doa itu tergantung antara langit dan bumi, ia tidak naik [kepada Allah] sehinggalah engaku berselawat ke atas Nabi-mu ﷺ.”
Ia disebut oleh ibn al-Qayyim dalam Jalā’ al-Afhām (halaman 35, cetakan al-Munīriyyah, diterbitkan pada 1357M).
Aku (iaitu ibn Bāz) berkata: Pada sanad al-Tirmidhiyy dan al-Ismā’īliyy kedua-duanya terdapat Abū Qurrah al-Asadiyy. Dia adalah seorang orang Arab asli (Badwi), tidam dikenali siapakah dia – sebagaimana yang disebut dalam al-Taqrīb.
Dia (iaitu Abu Qurrah) merekodkan (athar ini) dari Sa‘īd al-Musayyib, dari ‘Umar al-Khaṭṭāb.
Justeru athar ‘Umar ini dianggap lemah kerana jahālat (En. anonymous) Abū Qurrah ini.
Hadis 5
Dari al-Ḥasan al-Baṣriyy secara mursal, kata beliau: Telah sampai ke pengetahuanku bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
لَعَنَ اللهُ النَّاظِرَ والْمَنْظُورَ إلَيْهِ.
“Allah melaknat orang yang melihat [perkara yang diharamkan] dan objek yang dilihat.”
Hadis ini direkodkan oleh al-Bayhaqiyy dalam Shu‘ab al-Īmān. Juga disebutkan dalam Mishkāt al-Maṣābīḥ pada bab Melihat kepada Tunangan pada bahagian akhir fasal ke-3.
Kita katakan: Mursal yang dilakukan oleh al-Ḥasan adalah lemah, dan kita tidak tahu ada asal bagi mursal ini untuk menguatkannya.
Kita juga ada membaca dalam Kashf al-Khafā’ oleh al-‘Ajlūniyy (halaman 408), beliau menisbahkan mursal ini termasuk dalam siri pemalsuan Isḥāq al-Malṭiyy – moga Allah memperlakukannya yang selayaknya.
Comments
Post a Comment