Catatan | Tafsir al-Kashshāf dan Doktrin Muktazilah
Sh. al-Zamakhshariyy (w. 467H) yang terkenal dengan magnum-opus-nya, al-Kashshāf ‘an Ḥaqā’iq al-Tanzīl merupakan tokoh Muktazilah yang tanpa diragui merupakan imam dalam seni Balāghat, al-Kashshāf menjadi bukti untuk itu, begitu juga Asās al-Balāghat.
Beliau banyak memasukkan doktrin Muktazilahnya dalam al-Kashshāf, baik yang disedari mahupun tidak.
Ada yang jelas seperti pemesongan makna (baca: ta’wīl / taḥrīf) terhadap sifat khabariyyah semisal dari istiwā’ ‘alā [الاسْتِوَاء عَلَىٰ] (meninggi dari) kepada istīlā’ ‘alā [الاسْتِيلَاء عَلَىٰ] (menguasai ke atas).
Ada yang tersembunyi seperti pada tafsiran beliau pada ayat 185 dari surah Āli ‘Imrān,
كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ وَإِنَّما تُوَفَّونَ أُجورَكُم يَومَ القِيامَةِ فَمَن زُحزِحَ عَنِ النّارِ وَأُدخِلَ الجَنَّةَ فَقَد فازَ وَمَا الحَياةُ الدُّنيا إِلّا مَتاعُ الغُرورِ.
Mafhumnya: "Tiap-tiap jiwa pasti merasai mati. Dan mereka sepasti-pastinya akan disempurnakan ganjaran mereka pada hari kebangkitan kelak. Maka barangsiapa yang terselamat dari neraka dan dimasukkan ke dalam shurga; sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tidaklah dunia ini melainkan hanya menipu-daya."
Kata al-Zamakhshariyy berhubung ayat ini,
ولا غاية للفوز وراء النجاة من سخط الله والعذاب السرمد ونيل رضوان الله والنعيم المخلد.
... Dan tidak ada kemuncak kejayaan lagi di sebalik selamatnya dari kemurkaan Allah dan azab yang berlanjutan, serta menggapai reda-Nya serta nikmat shurga yang berkekalan.
[Zamakhshariyy, al-Kashshāf; Dār al-Ma‘rifat, t.t (Lubnan) 1/485]
Sepintas lalu, perkataan ini kelihatan benar dan baik. Namun sebenarnya ia mengandungi doktrin besar Muktazilah, iaitu menafikan melihat wajah Allah ﷻ di akhirat kelak — sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Bulqīniyy, yang tercatat dalam buku-buku ulum al-Quran. [Mannā‘, Mabāḥith fī ‘Ulūm al-Qur’ān; Maktabah Wahbah, t.t. (Kairo) h. 336]
Fā'idah:
Dikatakan bahawa al-Zamakhshariyy menulis dua manuskrip al-Kashshāf, yang mana manuskrip pertama lebih dipenuhi dengan doktrin Muktazilah. Beliau bahkan memulakannya dengan kata aluan, "Segala puji bagi Allah yang menciptakan al-Qur‘ān." Namun al-Kashshāf lamanya tidak mendapat penerimaan di sisi Allah.
Disklaimer:
Ifadah ini saya disebut sepintas lalu dalam syarahan Sh. ‘Abd al-Raḥmān b. Mu‘āḍat al-Shihriyy ke atas Tafsīr Anwār al-Tanzīl oleh al-Bayḍāwiyy. Ia ada di Youtube.
Am‘ash.
Shah Alam.
Comments
Post a Comment